Penentuan Had Sempadan Bandar

Penentuan Had Sempadan Bandar amat penting dalam merancang pertumbuhan perbandaran untuk mengelakkan masalah rebakan bandar (urban sprawl) yang akan menyebabkan pembaziran sumber. Had Sempadan Bandar membolehkan PBT menetapkan kawasan yang boleh dibangunkan dan kawasan yang perlu dikekalkan sebagai kawasan hijau.

Sempadan bandar adalah penting bagi memudahkan pentadbiran sesuatu bandar. Oleh itu, dicadangkan supaya setiap rancangan tempatan menggunapakai dan mengaplikasikan istilah dan kriteria had pembangunan bandar yang diutarakan dalam DPN2. Bagi bandar-bandar yang telah tersenarai dalam Kajian Profil Bandar (KPB) (2009) dan KPB2 (2013), PBN perlu mengambil tindakan mewartakan sempadan bandar tersebut yang telah dikenalpasti dalam kajian ini.

Terdapat dua (2) konsep Penentuan Had Sempadan Bandar yang telah dikenalpasti untuk dilaksanakan di sesebuah bandar iaitu Sempadan Pertumbuhan Bandar / Urban Growth Boundary (UGB) dan Sempadan Pembendungan Bandar / Urban Containment Boundary (UCB).

 

i. Sempadan Pertumbuhan Bandar / Urban Growth Boundary (UGB)

  • UGB yang ditetapkan bagi pembangunan sesuatu bandar sepertimana yang dikenalpasti dalam rancangan pemajuan;
  • UGB merupakan satu garisan yang mengelilingi kawasan perbandaran sedia ada untuk menjadi pemisah antara kawasan yang boleh dibangunkan atau tidak;
  • Kawasan liputan UGB lebih luas berbanding kawasan pembangunan sedia ada bagi memberi suntikan ekonomi serta mewujudkan bandar yang berdaya saing khususnya untuk bandar kecil dan sederhana.

 

 

ii. Sempadan Pembendungan Bandar / Urban Containment Boundary (UCB)

  • UCB merupakan satu garisan yang mengelilingi kawasan perbandaran sedia ada untuk menghadkan pembangunan perbandaran;
  • UCB membantu PBT untuk memenuhi beberapa matlamat perancangan seperti –

 

a. Meningkatkan kebolehlaksanaan dan daya maju pengangkutan awam dengan penumpuan pembangunan;

b. Menggalakkan pembangunan bercampur;

c. Memaksimumkan penggunaan infrastruktur sedia ada dan mengurangkan kos infrastruktur baru;

d. Menghidupkan atau menggiatkan pusat bandar;

e. Mengekalkan working land base (pertanian, luar bandar, hutan, tanah dan sumber lain); dan

f. Menentukan kawasan pembangunan masa hadapan.

 

  • Diaplikasikan di kawasan serakan konurbasi yang telah berkembang secara meluas dan tidak efisien serta mengancam kawasan pertanian utama negara dan kawasan sensitif alam sekitar.
  • UCB juga digunakan dalam kawasan pembangunan khusus yang dibangunkan berdasarkan spekulasi dan belum digazetkan lagi.
  • Kebiasaannya, penentuan UCB boleh menggunakan sempadan pertumbuhan sedia ada untuk mengawal rebakan bandar secara tidak efisien.